Ikan siakap adalah merupakan ikan makanan yang popular dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi di kawasan tropika dan subtropika Asia dan Pasifik. Ianya dipelihara atau dikultur secara komersial di Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan samada dalam kolam atau sangkar air payau/masin atau air tawar. Permintaan ke atas benih-benih ikan siakap semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan perkembangan pesat sektor akuakultur dan harga pasarannya yang tinggi serta lebih stabil.
Di Malaysia ternakan ikan siakap merupakan satu bidang yang baru berkembang. Ia bermula pada pertengahan tahun 1970 dengan menggunakan benih-benih liar dan juga yang diimport yang dipelihara dalam sangkar-sangkar terapung. Pada awal tahun 1970, para saintis akaukultur Thailand telah mencapai kejayaan dalam penetasan ikan siakap dari induk yang dipelihara. Kitaran hidup yang lengkap juga telah diperolehi dengan sempurna. Mereka juga telah berjaya mengeluarkan benih siakap lebih 1.0 juta setahun. Pada masa sekarang pengeluaran benih siakap telah dapat dikeluarkan secara semulajadi dalam tangki-tangki ternakan. Pembiakan larva siakap di Malaysia (dari induk liar) buat pertama kali diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan Perikanan, Gelugor,Pulau Pinang dalam tahun 1982. Sementara itu peneluran atau pembiakan yang pertama dari induk yang dipelihara dalam tangki simen telah di capai dalam bulan Julai 1985.
Dalam usaha untuk memperkembangkan teknologi pengkulturan ikan siakap, penulisan ini bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pengusaha-pengusaha ternakan ikan siakap tentang biologi dan perkembangan ikan tersebut.
2.0 TAKSONOMI
Filum: Chordata
Sub-filum: Vetebrata
Kelas: Pisces
Sub-kelas: Teleostomi
Order: Percomorphi
Famili: Centropomidae
Genus: Lates
Spesies: calcarifer
Nama-nama tempatan bagi ikan siakap:
Bahasa Inggeris: Giant perch, white seabass, silver seaperch, palmer.
Malaysia : Siakap, kakap.
Thailand : Pla kapong, pla kapong kao, pla kapong nam-chut.
Philippines : Apahap, bulgan, katuyot, matang pusa, salungsong.
India : Begti, dangera, petcham, telap, voliji, fitadar, todah.
Sri Lanka : Modha, koleya, keduya.
Bangladesh : Kora, baar.
China : Hih tsao, hak tso, tsa yu.
Indonesia : Kakap, pelak, petcham, telap.
New Guinea : Barramundi.
Australia : Barramundi, palmer, barra, giant perch.
3.0 MORFOLOGI
Badan ikan siakap memanjang dan mampat dengan pedunkel kaudal yang panjang. Bentuk kepalanya meruncing dengan lekuk di bahagian atasnya hingga membentuk cembung bulat di bahagian hadapan sirip dorsalnya. Saiz mulutnya besar dan serung sedikit dengan bahagian rahang atasnya mencecah hampir ke mata. Bentuk giginya adalah jenis viliform dan tidak mempunyai taring. Di bahagian bawah sisi praoperkulumnya terdapat satu spina yang kuat dan bergerigi. Sirip dorsalnya mempunyai 9 spina dan 10 hingga 11 ruji lembut dan terdapat satu takuk yang memisahkan kedua-dua bahagian tersebut. Sirip pektoralnya pendek dan bentuk membulat dengan beberapa gerigi pendek di atasnya. Sirip analnya juga berbentuk membulat, tetapi mempunyai 3 spina dan 7 hingga 8 ruji lembut. Sirip ekornya juga bentuk membulat. Ia mempunyai sisik ctenoid yang besar dan agak kesat bila disentuh. Warna badannya terbahagi kepada 2 fasa; dimana pada peringkat juvenil berwarna keperangan di bahagian atas dan warna keperakan di bahagian perutnya bila di air masin dan perang keemasan dalam air tawar. Manakala bagi ikan yang dewasa berwarna hijau kebiru-biruan atau warna kekelabuan di bahagian atas dan keperakan di bahagian bawahnya.
4.0 TABURAN
Secara geografi ikan siakap tersebar secara meluas di kawasan tropika dan subtropika di laut Pasifik Barat dan Lautan Hindi, antara longitud 50 oE - 160 oW dan latitud 24 oN - 25 oS. Ia juga di temui di kawasan utara Asia, selatan Australia dan hingga ke Afrika Timur.
5.0 KITARAN HIDUP
Ikan siakap merupakan ikan asli air masin atau payau dan ia merupakan spesies eurihalin dan katadromi. Ia membesar di kawasan-kawasan sungai dan tasik yang bersambung dengan laut. Ia boleh hidup di kawasan-kawasan air yang berlainan
Gambarajah 1: Geografi taburan ikan siakap (FAO, 1974)
kemasinan atau saliniti yang berbeza. Pada peringkat-peringkat umur yang tertentu ia boleh didapati di kawasan-kawasan yang berlainan. Ikan-ikan yang dewasa dan matang akan berhijrah ke kawasan muara sungai untuk membiak. Kebiasaannya induk-induk yang matang (saiz sekurang-kurangnya 3.0 kg) akan menduduki kawasan pantai atau kawasan air masin dengan saliniti antara 30 - 32 ppt (bahagian per seribu). Kawasan ini biasanya tidak melebihi 5 km (3 batu) dari pantai atau kedalaman air lebih kurang 14 m (8 depa) dan biasanya berhampiran muara sungai dan kawasan bakau. Induk-induk akan bertelur berpandukan kepada kitaran bulan. Kebiasaannya ia akan bertelur pada awal bulan dan akhir bulan Melayu. Ia akan bertelur pada waktu malam antara pukul 8 hingga 11 malam dan bertepatan dengan permulaan air pasang.
Rega-rega yang menetas dari telur-telur akan dihanyutkan oleh ombak dan arus air pasang ke kawasan muara sungai dan kawasan hutan bakau (kawasan air payau) untuk membesar. Ikan-ikan akan menduduki kawasan ini sehingga ukuran mencapai lebih kurang 200 mm (8 inci). Ikan-ikan dewasa boleh juga didapati di kawasan-kawasan sungai air payau atau air tawar dan akan berhijrah ke kawasan air masin apabila sudah cukup matang.
Gambarajah 2: Kitaran hidup ikan siakap dan corak migrasi
6.0 MAKANAN DAN TABIAT PEMAKANAN
Ikan siakap merupakan jenis ikan karnivor. Analisa kandungan perut dari anak-anak ikan yang ditangkap bersaiz 1 - 10 cm menunjukan 20 % kandungannya adalah terdiri dari plankton dan yang selebihnya adalah terdiri dari anak-anak ikan dan udang. Manakala bagi ikan yang bersaiz lebih dari 20 cm, 70 % dari kandunagn perutnya adalah terdiri dari krustasea seperti anak-anak udang dan ketam dan 30 % lagi adalah terdiri dari anak-anak ikan.
7.0 PENENTUAN JANTINA
Penentuan seks atau jantina ikan siakap agak sukar untuk dikenal pasti, kecuali semasa musim pembiakan. Namum begitu terdapat beberapa ciri yang dapat digunakan bagi penentuan jantina:
o Mucung bagi ikan jantan agak lengkung sedikit, manakala bagi ikan betina mucungnya agak lurus.
o Ikan jantan mempunyai badan yang lebih ramping berbanding ikan betina.
o Berat ikan betina lebih tinggi berbanding ikan jantan bagi ikan yang sama saiz.
o Sisik yang hampir dengan kloaka adalah lebih tebal bagi ikan jantan berbanding ikan betina semasa musim pembiakan.
o Semasa musim pembiakan, abdomen ikan betina menjadi lebih kembung berbanding ikan jantan.
8.0 KEMATANGAN SEKSUAL
Ikan siakap adalah merupakan ikan jenis protandrus hermafrodit. Dimana ia akan bertukar jantinanya dari jantan kepada betina apabila telah mencapai saiz yang tertentu. Majoriti juvenil-juvenil ikan siakap akan mulai matang sebagai jantan pada saiz 1.0 - 2.5 kg, dan kemudiannya akan bertukar menjadi betina apabila mencapai saiz 4.0 - 6.0 kg. Walau bagaimana pun terdapat perbezaan laporan mengenai saiz permulaan kematangan (53.5 cm TL dan berumur 3 - 5 tahun di Queensland; 25 cm TL di Cape Yolk Peninsula; 2.0 - 7.5 kg di Singapura) dan masa pertukaran jantina (6 - 8 tahun di Papua New Guinea, 4 -5 tahun di Teluk Carpentaria; 3 - 4 tahun di Filipina). Keadaan ini mungkin dipengaruhi oleh geografi yang berbeza dan juga perubahan genetik.Bagaimanapun tidak semua ikan-ikan betina adalah berasal dari pertukaran jantina ikan-ikan jantan. Ikan-ikan betina akan mencapai tahap kematangan kebiasaannya pada umur 3 - 4 tahun. Dimana oosistanya mencapai saiz 0.4 - 0.5 mm diameter.
9.0 FEKUNDITI DAN PENELURAN
Fekunditi ikan siakap berkait rapat dengan saiz dan berat ikan tersebut. Mengikut laporan, bagi ikan siakap yang mempunyai berat badan 5.5 - 11.0 kg akan menghasilkan telur dengan kadar 2.1 - 7.1 juta. Terdapat laporan lain yang menyatakan bagi ikan yang bersaiz 12.0 kg akan mengeluarkan telur sejumlah 7.5 juta, 19.0 kg dengan kadar 8.5 juta dan 22.0 kg dengan 17.0 juta telur. Ikan siakap dapat bertelur sepanjang tahun, Namun begitu terdapat perbezaan musim peneluran bagi setiap negara iaitu; November - Januari di Papua New Guinea, September - Disember dan Februari - Mac di Australia, April - Ogos di Thailand, Januari - Ogos di India, Mei - Oktober di Filipina dan sepanjang tahun di Malaysia dan Singapura.
Jadual 1: Perhubungan antara saiz ikan dan bilangan telur dari gonad ikan siakap ( Wongsomnuk dan Maneewongsa, 1976).
10.0 PERKEMBANGAN EMBRIO
Pembahagian sel bermula 35 minit selepas persenyawaan telur. Pembahagian sel berikutnya akan berlaku atau berterusan setiap 15 hingga 25 minit, dan perkembangan telur ke peringkat banyak sel terjadi dalam masa 3 jam. Perkembangan berikutnya akan menjadi peringkat blastula, gastrula, neurola dan seterusnya menjadi peringkat embrio. Jantung embrio akan mula berfungsi selepas 15 jam dan penetasan akan berlaku dalam masa 18 jam selepas persenyawaan pada suhu 28 - 30 o C dan saliniti 30 - 32 ppt. (Jadual 2 dan Gambarajah 4).
Jadual 2: Perkembangan embrio telur ikan siakap (Kungvankij, 1981)
11.0 PERKEMBANGAN REGA
Julat panjang penuh (TL) bagi rega yang baru menetas adalah 1.21 - 1.65 mm dengan purata 1.49 mm. Purata panjang pundi yolka adalah 0.86 mm. Satu globul minyak terletak di bahagian anterior pundi yolkanya. Globul minyak tersebut membolehkan rega yang baru menetas terapung secara vertikal atau lebih kurang 45o dari kedudukan horizontalnya yang biasa. Pigmen awal terbentuk secara tidak sekata, mata, saluran penghadaman, kloaka dan sirip kaudal kelihatan transparen. Tiga hari selepas penetasan, sebahagian besar yolkanya telah diserap dan globul minyaknya mengecil. Pada peringkat ini, mulut rega mula terbuka dan rahangnya mula digerakkan dan rega mula untuk mencari makanan. Pembentukan pigmen pada rega ikan siakap berlaku pada dua peringkat. Peringkat pertama pada 10 - 12 hari selepas penetasan, dimana rega akan kelihatan kelabu-gelap atau kehitaman. Peringkat kedua berlaku pada umur 25 - 30 hari, iaitu peringkat perkembangan ke juvenil dimana ianya kelihatan berwarna keperakan. Pada peringkat ini kita akan dapat mengenalpasti ikan yang sihat dan tidak sihat. Ikan yang sihat akan berenang dengan aktif dan berwarna keperakan, manakala ikan yang tidak sihat berwarna gelap atau badannya hitam.
Tumbesaran rega ikan siakap agak perlahan pada peringkat awal perkembangannya, tetapi akan bertukar menjadi cepat apabila ia mencapai berat badan 20 - 30 gram (Jadual 3 dan Gambarajah 5). Tumbesarannya akan menjadi perlahan semula apabila ia mencapai berat badan 4.0 kg.
Jadual 3: Umur, Purata TL dan Berat Badan Ikan Siakap Bagi Asuhan Dalam Tangki (P.Kungvankij et al, 1986)
12.0 KESIMPULAN
Pengetahuan asas tentang bilogi ikan siakap adalah penting kerana ianya merupakan salah satu spesies utama bagi ternakan ikan dalam sangkar dan juga kolam pada masa kini. Adalah diharapkan dengan adanya kefahaman ini akan dapat membantu para pengusaha ternakan ikan siakap baik diperingkat asuhan, pembesaran ataupun pengeluaran benih menguruskan operasi mereka dengan lebih efisen disamping mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjamin kejayaannya. Menerusi peneranagn ringkas ini juga diharapkan agar perusahaan ternakan ikan siakap akan terus berkembang dan menjadi spesies yang berdaya maju di masa akan datang, INSYALLAH.
BIBLIOGRAFI
Ali, A., Ramli, S. dan Ahmad, F.A. (1985). Pengeluaran Benih Ikan Siakap. Risalah Perikanan Bil.21, Jabatan Perikanan Malaysia.
Kungvankij, P. (1981). Seed Production of Seabass. Satul Fisheries Station. Contribution No.1, Satul, Thailand, 15p.
Kungvankij, P., Pudadera,B.J., Tiro, L.B. dan Potestas,I.O. (1986). Biology and Culture of Seabass (Lates calcarifer). NACA Training Manual Series No.3, Bangkok, Thailand.
Moore,R. (1979). Natural Sex Inversion of the Giant Perch (Lates calcarifer). Australian J.Freshwater Res., 30:803-813.
Toledo,J.D. (1998). Biology of Seabass. MARFISH Training Manual, SEAFDEC, Tigbauan, Iloilo, Philippines.
Wongsomnuk,S. dan S. Maneewongsa.(1974). Biology and Artificial Propagation of Seabass (Lates calcarifer) Bloch. Report on the First Mangrove Ecology Workshop. Vol.2,No.3. pp.645-664.
_____, (1988). Istilah Perikanan. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Hi En. NIk, saya nak tahu sedikit maklunmat tentang life cycle ikan Siakap. Selepas berapa hari ikan siakap akan dikenali sebagai fry, fingerling,juvenile and adult?
BalasPadamsalam. . saya nak tanye, ade ape2 efek tak kalu trus tukar salinity air kepada 0, darp yg asal brakish (18-25)
BalasPadamAda yg berminat utk menternak lobster air tawar sila layari http://redclawlobster.blogspot.com utk info.tk
BalasPadamTerima kasih, banyak info yang saya perolehi dari blog tuan dan insyallah dalam masa terdekat saya akan ada sebuah kolam siakap juga nanti.
BalasPadamSalam
BalasPadam